Friday, March 14, 2008

Ruang sudut kelas...by Muhammad Anas.


Ruang-ruang kawasan kelas mempunyai fokus atau peluang-peluang tertentu untuk pembelajaran. Ruang dalam kelas seharusnya dibahagi kepada sudut pembelajaran tertentu bagi membolehkan kanak-kanak nampak lebih jelas tentang pilihan ruang bagi menjalankan aktiviti tertentu seperti sudut keluarga untuk aktiviti main peranan. Selain itu, ia juga membenarkan kanak-kanak memilih ruang kegemaran mereka semasa menjalankan aktiviti bebas.

Sudut permainan blok dan puzzle merupakan sudut yang menghasilkan bunyi bising apabila kanak-kanak berinteraksi semasa berada di sudut ini. Manakala sudut bacaan pula memerlukan keadaan yang senyap supaya kanak-kanak dapat menumpukan perhatian tanpa gangguan. Oleh itu, sudut yang senyap ini perlu dijauhkan daripada sudut yang bising. Sudut permainan boleh disusun berdekatan dengan sudut permainan puzzle. Manakala sudut bacaan ataupun komputer perlu disusun jauh daripada sudut yang bising itu.

Sudut permainan puzzle dan manipulatif perlu disediakan permaidani kerana ia dapat menyerap bunyi bising. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan bunyi bising. Permaidani yang tebal seperti carpet shaggy tidak sesuai digunakan kerana ia akan menyebabkan lantai tidak rata. Tikar getah juga tidak berapa sesuai sekiranya digunakan kerana ia turut menimbulkan bunyi bising.

Merancang ruang pembelajaran perlu dibuat dengan teliti dan memerlukan perancangan yang rapi. Segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di ruang pembelajaran dan persekitaran prasekolah perlu diberi perhatian yang lebih mendalam. Kesemua ruang pembelajaran (di dalam ataupun di luar) perlu disesuaikan dengan tujuan dan objektif yang ditetapkan. Keadaan itu melambangkan keperluan pengajaran prasekolah itu. Untuk ruang pembelajaran pula, ia hendaklah:

· Selesa, mendapat cahaya yang cukup dan peredaran udara yang baik

Ruang pembelajaran tersebut mesti bersih, tidak terlalu sempit oleh pelbagai perabot, pencahayaan yang cukup dan pengudaraan yang baik. Aspek ini sangat penting bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya aspek ini tidak diambil kira, ia akan mendatangkan ketidakselesaan kepada guru dan kanak-kanak. Secara tidak langsung, objektif pembelajaran tidak dapat dicapai.

· Susun atur peralatan memudahkan pergerakan kanak-kanak

Guru perlu memastikan susun atur peralatan yang terdapat di dalam prasekolah memudahkan pergerakan kanak-kanak. Sekiranya susun atur peralatan yang tidak sistematik, ia akan menyebabkan kemalangan terutamanya kepada kanak-kanak.

· Ruang pembelajaran diwujudkan di dalam dan di luar kelas

Guru boleh mengambil inisiatif untuk mewujudkan ruang pembelajaran di dalam mahupun di luar kelas. Sekiranya saiz kelas agak kecil, guru boleh mewujudkan ruang pembelajaran di luar kelas bagi memastikan kanak-kanak dapat mengikuti proses pembelajaran dengan sempurna dan berkesan.

· Pelbagai guna

Guru boleh menggunakan ruang tersebut bagi menjalankan pelbagai aktiviti. Misalnya, rak mainan bukan hanya sekadar menyimpan mainan tetapi ruang belakangnya boleh dijadikan papan buletin bagi menampal hasil kerja kanak-kanak.

· Sentiasa bersih, ceria, menarik dan selamat

Guru dan pembantunya perlu memastikan keadaan kelas sentiasa bersih, ceria, menarik dan selamat. Bagi memastikan keadaan kelas sentiasa bersih, guru dan pembantu guru perlu membersihkan seperti mengemas, menyapu dan menyusun bahan yang telah digunakan ke tempat asal setelah selesainya proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk mewujudkan suasana yang ceria dan menarik guru boleh menggalakkan penglibatan ibu bapa seperti menerima cadangan serta idea yang bernas bagi menghasilkan prasekolah yang lebih ceria dan menarik. Sementara itu, bahan-bahan yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak perlu dilabelkan dan disimpan di tempat yang selamat dan berkunci.

· Ruang dan susun atur boleh diubah mengikut situasi dan aktiviti pembelajaran

Guru boleh memanipulasikan ruang yang ada untuk menjalankan aktiviti pembelajaran yang dirancang. Secara tidak langsung ia dapat menimbulkan kelainan seterusnya meningkatkan minat kanak-kanak terhadap proses pembelajaran. Di samping itu, ia juga dapat memberi keselesaan kepada kanak-kanak sewaktu aktiviti pembelajaran dijalankan.

No comments: